8 JAN : Mana-mana pihak boleh berbeza pendapat namun Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan agar perbezaan itu tidak sampai memangsakan rakyat.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap sebarang masalah politik yang remeh hendaklah ditangani dengan baik.
“Masalah politik titik bengik dan sebagainya harus disantuni dengan sebaik-baiknya. Mana mungkin kita mahu bersetuju 100 peratus. Mana mungkin kita memuaskan hati semua pihak 100 peratus, itu mustahil.
“Ya benar kita boleh berbeza pendapat, berbeza pandangan namun yang penting kita harus memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat dan jangan jadikan rakyat sebagai harga yang mahal yang terpaksa dibayar kerana perbezaan pegangan politik dan kepentingan politik.
“Dalam situasi ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kita memberikan keutamaan bagaimana soal kestabilan harus dipertahankan kerana lahirnya kestabilan politik ini akan terdapat pembangunan negara hasil pelaburan yang datang dari luar, pelaburan dalam negeri yang akan mengurangkan pengangguran, mengurangkan kadar inflasi, menstabilkan harga barang dan paling penting rakyat harus disejahterakan dan dimakmukan, inilah tujuannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian di Kadamaian Square Taginambur, di Kota Belud, hari ini.
Pada ucapan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sempat mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu taksub untuk mewujudkan jurang perbezaan yang ada.
“Kita tahu Malaysia ini adalah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk dengan kepelbagaian bangsa dan agama serta budaya merupakan satu keunikan yang harus dipertahankan.
“Kita tidak mahu ada parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau tokoh-tokoh serta individu yang terlalu taksub, yang terlalu jumud untuk mewujudkan jurang-jurang perbezaan di kalangan kita.
“Sabah adalah contoh yang terbaik toleransinya, pelbagai agama dan pelbagai kaum. Sambutan Hari Natal saja ada doa daripada imam, ini sesuatu yang unik. Kalau di Semenanjung mungkin ada masalah, jadi tahniah orang Sabah, orang Kota Belud, orang Kadamaian,” katanya.