Hasina kembali dipilih jadi PM Bangladesh
8 JAN : Sheikh Hasina kekal dipilih sebagai Perdana Menteri Bangladesh buat penggal kelima berturut-turut.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan kemenangan parti Hasina, Liga Awami, hari ini.
Memetik laporan AFP, peratusan keluar mengundi amat rendah iaitu dianggarkan kurang 40 peratus selepas pilihan raya umum (PRU) kali ini diboikot semua parti pembangkang yang dilabel Hasina sebagai pertubuhan pengganas.
Kerajaan diterajui wanita berusia 76 tahun itu didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia yang berleluasa dan kejam terhadap pembangkang.
Dalam PRU itu juga, Liga Awami tidak menghadapi cabaran besar di mana-mana kerusi ditandingi namun tidak meletakkan calon di beberapa kawasan pilihan yang dilihat sebagai langkah mengelak badan perundangan dilabel sebagai monopoli satu parti.
Blok pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang didakwa ditindas pentadbiran Hasina melancarkan mogok dan enggan menyertai PRU kerana menganggapnya sebagai ‘pilihan raya palsu’.
Meskipun keputusan akhir dan angka tepat akan diumum secara rasmi hari ini, pegawai SPR berkata parti dianggotai Hasina menang sekitar tiga perempat kerusi bersamaan sekurang-kurangnya 220 daripada 300 kerusi.