8 JAN : Kementerian Digital dibentuk untuk menerajui usaha transformasi digital supaya negara tidak ketinggalan dan dapat bersaing pantas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kementerian khas yang wujud susulan rombakan Kabinet pada bulan lepas itu dibentuk kerana memikirkan Malaysia tidak mampu bersaing dengan pantas mengikut tahap kelajuan yang dicapai oleh negara tanpa memberi fokus dalam bidang digital.
“Program digital harus dilakukan dengan lebih drastik, agresif daripada yang dahulu, kalau tidak, kita akan ketinggalan,” katanya lapor Bernama pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Beliau berkata dalam keghairahan memacu pertumbuhan ekonomi, digital, meningkat mutu pendidikan dan kesihatan; soal nilai kemanusiaan, keadilan dan akhlak yang baik tidak harus ditinggalkan.
“Digital itu melibatkan soal nilai. Ia satu prakasa baharu yang menekan soal teknologi baharu, tetapi kita mesti mengakar ke bumi. Kita ada sistem keyakinan dan nilai kita. Hal ini harus kita dekati,” katanya.
Dalam soal pendidikan, katanya penguasaan bahasa Melayu harus lebih baik namun peningkatan penguasaan bahasa Inggeris juga harus diberi keutamaan.
Sementara itu Anwar berkata segala langkah bagi mendukung usaha kerajaan harus merentasi kementerian dan jabatan sama, ada dalam soal undang-undang, pendidikan dan kesihatan.
“Janganlah fikir langkah lama – ini jabatan saya, kementerian saya (sebaliknya) mesti merentasi kementerian. Kalau undang-undang, ia melibatkan semua; kalau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ia melibatkan semua, kalau tidak ia hanya jadi satu cabang kementerian agama yang tiada kaitan dengan lain,” katanya.
“Mudah-mudahan dengan pendekatan ini dan Malaysia Productivity Corporation (MPC) untuk melanjutkan beberapa acara reform penjawat awam, kita dapat maju ke depan di tahun 2024 di tahap yang lebih cemerlang,” katanya.