8 JAN : Laporan kemajuan bagi mana-mana projek kerajaan perlu dihantar setiap bulan selepas ini.
Perdana Menter, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan itu ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, pagi ini
Katanya, langkah itu merupakan kaedah baharu yang diperkenalkan tahun baru ini.
“Ada kaedah baharu yang hendak kita perkenalkan…Mesti ada laporan bulanan, apa yang dilakukan, apakah sumbangan saudara dalam usaha melaksanakan projek itu.
“Laporan bulanan ini harus dihantar melalui ketua pengarah, ketua setiausaha kementerian (KSU) dan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk makluman saya,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan boleh meluluskan peruntukan dan tambahan projek seperti diminta ketua-ketua jabatan dan KSU dalam mesyuarat Kabinet.
Jelasnya, meskipun perubahan itu dilakukan menerusi pendekatan baharu, kerajaan turut meneruskan dasar terdahulu yang mendatangkan kebaikan kepada negara.
“Saudara tahu dalam sistem politik, dalam kerajaan, jemaah menteri, kita juga cuba melakukan kaedah-kaedah baharu, meneruskan kalau ada yang baik dahulu, kita teruskan tetapi pendekatan kita harus berubah.
“Sebab itu umpamanya kita tidak meneruskan dengan cara rundingan terus untuk mengelakkan kecelaruan dan salah guna,” katanya.
Anwar menggesa setiap kementerian mengambil pendekatan yang berani.
“Walaupun ada pelbagai hal tetapi saya yakin insya-ALLAH kerajaan kita stabil.
“Oleh kerana stabil, kita nak guna sepenuhnya untuk laksanakan program untuk mengangkat martabat negara,” katanya.