7 JAN : Mahkamah Sepanyol menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kepada Gonzalo Stampa yang terbabit dalam tuntutan kumpulan Sulu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi ciapan di X.
Stampa yang bertindak sebagai penimbang tara dalam tuntutan kumpulan Sulu didapati bersalah melakukan penghinaan mahkamah.
Selain dipenjara, Stampa turut dikenakan larangan untuk menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.
Kata Azalina, keputusan itu menunjukkan usaha kerajaan dalam menangani dan menghentikan penipuan Sulu tidak sia-sia.
“Kami terus berusaha dalam perjuangan untuk keadilan dan akan terus berusaha untuk membatalkan Anugerah Akhir,” katanya.
Pertuduhan jenayah ke atas Stampa yang bertanggungjawab atas penipuan dinamakan ‘Anugerah Sulu’ sebanyak AS$14.9 bilion di Mahkamah Jenayah Madrid, Sepanyol bermula 11 Disember lalu.
Stampa dinamakan sebagai defendan dalam prosiding jenayah itu yang dibawa Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia berdepan pertuduhan menghina mahkamah dan amalan profesion tanpa kelayakan.
Mahkamah Tinggi Sepanyol sebelum ini mengisytiharkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dan memerintahkannya untuk menamatkan prosiding kerana satu-satunya hak beliau untuk bertindak sebagai penimbang tara adalah terbatal.
Stampa yang memperoleh lebih AS$2.5 juta daripada kumpulan mengaku waris Sulu (dibiayai oleh pembiaya litigasi, Therium), dengan sedar enggan mematuhi perintah itu.
Mahkamah di Perancis dan Belanda pula mengisytiharkan pada Jun tahyn lalu bahawa Malaysia tidak pernah setuju perkara itu dibawa kepada timbang tara dan justeru timbang tara palsu tidak sepatutnya berlaku.