8 JAN : Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) baharu berkuat kuasa esok.
Beliau merupakan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Wan Ahmad Dahlan, 58 dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.
Menurut Mohd Zuki, pelantikan Wan dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan serta perkhidmatan.
“Saya yakin terhadap pengalaman dan kredibiliti dimilikinya, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Kerajaan merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed atas segala bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkhidmat selama 29 tahun dalam perkhidmatan awam yang memulakan karier sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara serta di JPA.
Wan Ahmad Dahlan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan turut memiliki Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya (UM).