9 JAN : Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menyediakan rancangan bagi membantu pekerja yang berpendapatan rendah khususnya berkait perumahan dan akses pendidikan lebih baik buat anak-anak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tanggungjawab itu tidak seharusnya diletakkan pada bahu kerajaan sahaja.
Katanya, pihak GLC juga boleh mengambil peranan sama memandangkan sebahagian besar daripada mereka meraih keuntungan besar setiap tahun.
“Saya tanya masalah mereka yang tak selesai umpamanya keluarga miskin tegar di bawah Tenaga (Nasional Berhad) atau Telekom (Malaysia Berhad). Adakah ini masalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah atau masalah syarikat? Tentunya masalah syarikat.
“Kalau ada 15,000 pekerja, sebahagiannya tiada rumah langsung…tak mungkinkah kita fikir ada rencana untuk bina perumahan kepada pekerja sendiri.
“Kita catat keuntungan dan kita bebankan kelompok yang berpendapatan rendah ini kepada kementerian dan kerajaan untuk tangani, saya tak rasa itu munasabah. Sebab itu perlu ada perancangan jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tidak munasabah pada saat syarikat-syarikat GLC itu mencatat keuntungan namun masih ada anak-anak pekerja yang terus bergelut untuk mendapatkan akses pendidikan.
“Kalau ada syarikat kita catat keuntungan baik dan anak mereka di sekolah, universiti tidak ada dana cukup untuk belajar dan terpaksa ambil PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), ini hal yang perlu diteliti.
“Saya minta dalam tempoh sebulan ini supaya dapat melaporkan kepada kita, apa rencana yang ada.
“Baik rencana pelaburan, Bumiputera, perumahan, pekerja dan cara meningkatkan mutu pendidikan. Saya nak dapatkan laporan ini supaya ada kefahaman dengan jelas.
“Saya mahu lihat juga yang disentuh masalah perumahan mereka, kadar upah, pendidikan mereka. Mana mungkin syarikat kerajaan yang ada pekerja, anak dia nak masuk universiti tak cukup dana, oleh itu tak jadi masuk universiti. Saya tidak fikir hal ini boleh kita pertahankan,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim