9 JAN : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) merekodkan hasil kutipan yang melepasi sasaran sepanjang tahun lalu.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, LHDN berjaya mengutip RM183 bilion sementara Kastam pula mengutip RM55 bilion.
“Terima kasih kepada Kastam sebab itu ketua pengarah kena garang. Akhirnya dapat memenuhinya unjuran yang tidak selalu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan kepada Kumpulan Wahg Simpanan Pekerja (KWSP) kerana berjaya membuat kutipan yang tertinggi.
Namun beliau tidak menyebut angka yang berjaya dikutip tersebut.
Pada masa sama, beliau meminta agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengurangkan pelaburan luar negara sebaliknya memberi fokus kepada pelaburan domestik.
“Apa kemunasabahan kita mengadakan kempen menarik pelaburan asing ke Malaysia kalau syarikat utama kita tidak ada keupayaan untuk memastikan jenis pelaburan yang menarik dan memberi keuntungan. Kita harus beri kelonggaran,” katanya.
Katanya lagi, peratusan pelaburan luar negara perlu dbincang semula.
“Sama ada 20 atau 25 peratus, saya belum pasti tetapi tentu ada tanggungjawab untuk sama-sama memikirkan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam negara,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim