9 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu laporan terperinci berkaitan masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Tahun lalu, beliau yang juga Menteri Kewangan meluluskan peruntukan segera RM3 juta bagi mengatasi masalah itu.
Katanya, beliau tersinggung dengan laporan mengenai sekumpulan pelajar UMS yang mengadu tidak mandi disebabkan ketiadaan bekalan air.
“Tahun lalu saya sampai ke sana. Saya dengar resahan dan saya minta pengesahan dari naib canselor. Saya luluskan (peruntukan), saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu ambil masa.
“Saya tidak mahu membuat keputusan menghukum seperti sesetengah ustaz yang cepat menghukum.
“Cuma, saya nak minta laporan teliti, apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera untuk selesaikan masalah air di UMS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut minta pihak berkaitan mengemukakan laporan berkait masalah bekalan air yang turut berlaku di sebuah kem tentera di Sabah.
“Sebelum itu (ke UMS), saya juga pergi ke kem tentera yang turut menghadapi masalah sama. Jadi saya minta juga (laporan),” katanya.
Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi masalah bekalan air dihadapi warga kampusnya.
Menurut Zambry, pihak UMS memerlukan sedikit peruntukan tambahan khususnya untuk kawasan yang mempunyai sumber air tetapi air itu tidak boleh dipam naik ke kawasan tinggi di asrama berkenaan.