9 JAN : Tiada amalan rundingan terus bagi perolehan kerajaan bawah pentadbiran sekarang.
Itu penegasan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata amalan rundingan terus itu memberi ruang yang lebih besar kepada penyalahgunaan kuasa.
“Amalan yang pada hemat saya dari dulu menyaksikan suatu bentuk rompakan penyalahgunaan kuasa, yang mudah untuk diberi ruang.
“Sang penguasa seperti Menteri Kewangan, senang dengan prinsip rundingan terus tapi dia akan beri ruang yang lebih luas bagi sang penguasa untuk menetapkan (harga).
“Ini pernah berlaku, secara meluas dan membataskan bidang kuasa jawatankuasa teknikal dan sebagainya, menyebabkan penguasa politik itu menentukan (harga) dan amalan rundingan terus perlu dihalang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Namun kata Anwar, proses rundingan terus itu boleh dilakukan sekiranya ia membabitkan perolehan yang mendesak khususnya yang berkait kepentingan masyarakat.
Mengambil contoh krisis elektrik di Labuan, Sabah, beliau berkata perkara itu dipulihkan melalui perolehan rundingan terus oleh PETRONAS.
“Saya tidak katakan tidak ada pengecualian…apabila saya ke Labuan, ada masalah bekalan elektrik yang mendesak.
“Kita arah PETRONAS laksana IPP (pengeluar tenaga bebas) itu. Itu satu keperluan yang dianggap mendesak tapi saya tak boleh tentukan kontrak mana yang PETRONAS ambil. Jadi prinsipnya, kita menghalang sama sekali rundingan terus,” katanya.
Foto : Facebook Anwar Ibrahim