10 JAN : Pelantikan lima daripada tujuh ahli Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) diumum, hari ini.
Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dua lagi kekosongan akan diisi tidak lama lagi.
“Tengah hari ini saya telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Cara Pelantikan melibatkan lima daripada tujuh ahli IPCC.
“Prosesnya adalah kita melakukan ‘head hunting’ mengenal pasti di kalangan individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan rekod tugas yang cemerlang di dalam bidang masing-masing daripada pelbagai segmen perkhidmatan.
“Walaupun slotnya tujuh tetapi lima sudah boleh kita mulakan. Maka kita luncur dan laksanakan,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Jelas Saifuddin, IPCC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas PDRM dari aspek siasatan aduan salah laku yang melibatkan integriti pasukan tersebut.
“Penubuhan IPCC merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan persepsi atau salah faham masyarakat umum terhadap Integriti dan kredibiliti pasukan PDRM,” katanya.
Tambahnya, Akta IPCC meletakkan peranan suruhanjaya itu sebagai ‘mandatory referral’ yang mewajibkan pasukan polis untuk merujuk kes melibatkan jenayah seksual, cedera parah atau kematian dalam tahanan.
“Saya percaya IPCC akan meningkatkan integriti anggota polis,” katanya.
Menurutnya, bekas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zolkopli Dahalan dilantik sebagai pengerusi dan bekas Lembaga Penasihat JPM, Datuk Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi sebagai timbalan pengerusi.
Turut dilantik menganggotai IPCC adalah bekas Pengarah Sektor Kewangan, Jabatan Audit Negara, Martina@Kartina Zamhari; bekas Timbalan Pengarah Teknikal dan Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Datuk Shukri Abdullah serta bekas Pengarah Kanan, Bahagian Operasi Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Tan Kang Sai.
Penubuhan IPCC bermula pada tahun 2020 dan penguatkuasaan Akta IPCC 2022 bermula 1 Julai 2023.
Antara peranan utama IPCC adalah menerima dan menyiasat aduan salah laku anggota dan pegawai PDRM dan mengesyorkan tindakan tata tertib kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
IPCC juga boleh memulakan siasatan sendiri tanpa rujukan daripada mana-mana pihak atas faktor kepentingan awam.