10 JAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil tiga ahli keluarga Tun Daim Zainuddin untuk direkod keterangan, hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan berkata proses rekod keterangan ini juga bagi mengaitkan siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan itu.
“SPRM ingin mengesahkan telah memanggil Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid iaitu isteri Tun Daim serta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakam keterangan, hari ini (Rabu).
“Ketiga-tiga individu ini dipanggil memberi keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan luar negara yang berada bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim,” kata kenyataan itu.
Menurut SPRM satu notis juga diserahkan kepada Daim di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala notis di bawah Seksyen 36(1)(b) akta sama turut telah diserahkan kepada ahli keluarganya.
Kata SPRM, sebagaimana yang dinyatakan pada kenyataan media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Daim sudah bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora.
Siasatan terhadap aset milik Daim juga masih terus berjalan, katanya.
Pada kenyataan sama, SPRM memaklumkan sudah merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ia bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta yang dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu,” katanya.