11 JAN : Pekerjaan dalam sektor ladang sawit khususnya penuaian disyor agar dijadikan satu profesion menerusi kursus kemahiran dan gaji yang lebih baik.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sektor sawit bergantung kepada pekerja asing kini berdepan masalah kekurangan pekerja di mana 50% pekerja di ladang itu membabitkan penuaian.
Katanya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mungkin boleh menawarkan bimbingan bagi skop kemahiran itu.
“Apabila tamat kursus ini ada banyak tempat mereka boleh kerja kerana kita ada 5.6 juta hektar ladang kelapa sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Palm Oil Economic Review & AMP; OutLook Seminar 2024.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk memastikan pekerjaan penuaian kelapa sawit sebagai satu profesion supaya sektor itu tidak terlalu bergantung pada pekerja asing.
Sementara itu, pada sidang media program itu Johari berkata industri minyak kelapa sawit sangat penting kepada ekonomi negara di mana RM130 bilion dijana daripada eksport sahaja.
“Bagaimanapun, masalah yang kita hadapi adalah pekerja. Kalau kita berdepan dengan keadaan tidak cukup pekerja, kita tak boleh tuai hasil,” katanya.
“Kalau ada pekerja tempatan, alangkah baiknya. Tetapi kita tak boleh bayar mereka seperti pekerja asing. Kerana ini adalah industri yang besar, anda perlu pastikan mereka (pekerja tempatan) dilihat sebagai satu profesion,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah menyuarakan syor itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar.
“Kita boleh ambil 40 ke 50 orang dan dapatkan pakar dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengajar mereka,” katanya.
Selain itu, beliau juga sudah menyuarakan kepada MPOB mengenai cadangan menanam pokok kelapa sawit yang lebih rendah supaya lebih mudah buahnya dituai.