11 JAN : Pembangkang dicabar membawa usul undi tidak percaya di Parlimen jika berhasrat untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pentadbirannya sudah menanti setahun lamanya namun usul itu tidak pernah dibawa ke Parlimen.
“Dah lama kita tunggu (usul tidak percaya) dah setahun. Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada, jadi kita tak ada fikir apa-apa.
“Saya tidak fikir mereka ada kekuatan untuk bawa ini, selain propaganda untuk menipu penyokong supaya tak hilang semangat.
“Saya berbeza pendapat. Kalau tak boleh bawa perubahan, patutnya bekerjalah untuk rakyat. Rakyat akan buat pilihan akhirnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra bersama warga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri, hari ini.
Menyentuh soal Langkah Dubai, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata langkah itu sudah terbukti hanya politik ‘cemas’ yang digunakan pembangkang apabila sudah kehilangan modal.
“Sekarang dah terbukti bahawa itu hanya politik cemas dalam kalangan yang agak kehilangan modal.
“Saya nasihat jemaah menteri dan pimpinan dan kerajaan umumnya, tumpu untuk bangunkan negara.
“Tahun 2024, fokus kita adalah pembangunan dan keutuhan ekonomi negara,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula 26 Februari dengan pembukaan rasmi dijangka disempurnakan Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendakwa wujud cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar digelar Langkah Dubai.
Dakwanya, Langkah Dubai muncul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ejen untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.
Minggu lalu, Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa mereka sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.