12 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Kementerian Komunikasi memutuskan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkait filem dokumentari ‘Man On The Run’.
Katanya, permohonan tersebut akan diteliti dan dipertimbangkan kementerian yang dipimpin Fahmi Fadzil itu.
“Nanti mereka (Kementerian Komunikasi) akan pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Hijrah, Persiaran Desa Pinggiran Putra di Kajang, hari ini.
Terdahulu, Najib mahu filem itu dikeluarkan daripada saluran penstriman Netflix yang disiarkan di negara ini.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa dokumentari berdurasi 1 jam 38 minit itu sangat subjudis terhadap anak guamnya kerana perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang berjalan.
‘Man on the Run’ ialah dokumentari diarah, ditulis dan diterbitkan Cassius Michael Kim berkisar mengenai skandal 1MDB yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober tahun lalu.