12 Jan : Kerajaan mengumumkan kempen bermusim termasuk pelepasan konvoi semasa perayaan seperti yang diamalkan sebelum ini dihentikan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berjata budaya keselamatan di jalan raya penting digalakkan sepanjang masa, bukannya bermusim.
“Kita perlu ubah cara adakan kempen keselamatan. Tak perlu lagi beri gambaran kepada orang ramai bahawa keselamatan hanya penting semasa Tahun Baru Cina, Hari Raya atau Deepavali.
“Ini adalah usaha secara berterusan, setiap hari ada kempen. Kita hentikan kempen bermusim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 anjuran Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.
Menurut Anthony, peruntukan untuk acara pelepasan konvoi akan dialihkan kepada pendekatan yang lebih berkesan dalam meningkatkan kesedaran dan penguatkuasaan.
“Kita tak hendak beri satu gambaran kepada orang ramai, isu keselamatan ikut bermusim.
“Dulu, setiap musim perayaan ada kempen lepaskan konvoi, kibarkan bendera, bagi goodies bag dan sebagainya.
“Operasi bersepadu musim perayaan tetap berjalan, tetapi kita gunakan peruntukan itu dengan cara yang lebih efisien.
“Penguat kuasa terus jalan, menteri tak lepaskan konvoi. Kenderaan kena jalan juga, tak perlu tunggu ada pelancaran, penguatkuasaan berterusan seperti biasa,” tegasnya.