12 JAN : Tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima setakat ini.
Perkara itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Menurut laporan akhbar tempatan, pembangkang sudah boleh mengemukakan usul untuk dimasukkan dalam senarai bagi mesyuarat pertama penggal ketiga yang akan bermula bulan depan.
“Kita tidak terima apa-apa usul berkaitan. Sesiapa sahaja ahli Parlimen boleh kemukakan apa saja usul itu sekarang walaupun mesyuarat belum bermula.
“(Bagaimanapun) Terpulang kepada Speaker untuk menolak (usul) atau menerimanya, yang mana keputusan akan diumumkan semasa persidangan Dewan Rakyat nanti,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa tiada jaminan jelas usul undi tidak percaya terhadap keabsahan Anwar akan diterima Speaker jika pembangkang menghantar usul tersebut.
Semalam, Anwar mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya ke Dewan Rakyat susulan ‘Langkah Dubai’ yang didakwa didalangi pembangkang dan beberapa pemimpin kerajaan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dipimpinnya.
Menurut Johari, sekiranya menerima sebarang usul Speaker yang akan membuat keputusan menerima atau menolak usul tersebut berdasarkan prosedur dan peraturan yang ditetapkan Dewan Rakyat.
“Jika memenuhi peraturan mesyuarat, Insya-ALLAH saya akan pertimbangkan. Semua perlu faham bahawa saya terikat dengan peraturan mesyuarat, bukannya buat keputusan sembarangan.
“Kaji dan baca peraturan mesyuarat, fahami dulu” katanya.
Tegasnya, tiada sekatan untuk mana-mana ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul walaupun sudah ada usul yang sama dikemukakan sebelum ini.