12 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membuka ruang dua kali kepada pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menepis kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa kerajaan menolak mentah-mentah usul dibawa pembangkang
“Tidak benar. Beliau (Anwar) sudah cabar dua kali sebelum ini malah memberi jaminan tempoh kemuka usul itu (undi tidak percaya) akan dipendekkan.
“Mungkin YB Pasir Mas (Fadhli) dah lupa atau malas nak ingat,” ciapnya melalui X.
Fahmi turut menyertakan laporan media berkait kenyataan Anwar menyentuh soal tersebut.
Laporan pada 6 Mei menyebut Anwar mencabar pembangkang membawa usul ke Parlimen manakala laporan pada 30 Julai lalu soal kesediaan Anwar memendekkan tempoh memfailkan notis kepada tiga hari berbanding 14 hari jika pembangkang mempunyai sokongan mencukupi bagi membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.
Terdahulu Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata tiada jaminan usul undi tidak percaya dibawa akan diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Semalam, Anwar mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya ke Dewan Rakyat susulan ‘Langkah Dubai’ yang didakwa didalangi pembangkang dan beberapa pemimpin kerajaan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dipimpinnya.