13 JAN : Israel didakwa gagal mematahkan tuntutan yang menuduh rejim itu melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Menteri Kehakiman Afrika Selatan, Ronald Lamola menegaskan pihaknya berpegang pada fakta dan undang-undang.
“Israel hari ini gagal untuk menafikan kes Afrika Selatan yang dibentangkan di hadapan ICJ semalam.
“Kami berpegang pada fakta, undang-undang dan semua bukti yang kami kemukakan,” katanya di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.
Afrika Selatan mengekalkan dakwaannya Israel melanggar Konvensyen Konvensyen Genosid.
“Tiada apa-apa yang membenarkan tindakan Israel melancarkan perang ke atas Gaza. Mempertahankan diri tidak membenarkan pembunuhan beramai-ramai.
“Kami yakin kami sudah membentangkan kes yang komprehensif dan Israel cuba memburukkan kami. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri mengakui terdapat halangan misi bantuan di Gaza dan satu-satunya penyelesaian ialah menghentikan peperangan,” katanya.
Lamola melahirkan keyakinannya ICJ akan memaksa Israel mengambil langkah sementara bagi menghentikan pembantaian ke atas penduduk di Gaza.
Sesi itu disambung semula semalam dengan ICJ mendengar hujah Israel terhadap tuduhan Afrika Selatan.
Pada sesi awal, Afrika Selatan menyerahkan dokumen setebal 84 muka surat dan membentangkan bukti pembunuhan yang disengajakan Israel ke atas ribuan rakyat Palestin di Gaza.
Tindakan undang-undang yang diambil oleh Afrika Selatan terhadap Israel mendapat sokongan ketara di peringkat global yang mencabar tindakan Israel sebagai kuasa penjajah.
Lamola melahirkan ucapan terima kasih atas sokongan antarabangsa dan menekankan Afrika Selatan mencari keadilan untuk rakyat Palestin.
Sejak 7 Oktober lalu, serangan Israel mengakibatkan kemusnahan dan kematian lebih 23,700 orang dengan 59,000 kecederaan serta krisis kemanusiaan yang ketara.