13 JAN : Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) pada tahun ini antara lain akan memfokus kepada usaha membantu usahawan desa kategori piko meningkatkan hasil jualan masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini supaya kelompok yang merangkumi 84 peratus daripada keseluruhan usahawan di bawah kementerian itu dapat mengubah nasib mereka daripada hanya berstatus sara diri kepada usahawan sebenar.
“Jadi, perkara begini yang harus diselaraskan dengan Amanah Ikhtiar Malaysia, pihak Baitumal, Pusat Pengagihan Zakat dan lain-lain supaya kita dapat lihat keberkesanannya.
“Kita juga akan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan untuk membantu usahawan kecil ini supaya mereka menjadi usahawan sebenar dan bukan hanya sara diri, supaya benar-benar jadi usahawan mikro,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Bengkel Pemukiman KKDW di Kuala Lumpuri pada Sabtu, lapor Bernama.
Usahawan yang memperoleh hasil jualan di bawah RM60,000 dikategorikan sebagai piko diikuti nano (RM60,000-RM150,000) dan mikro (RM150,000- RM300,000).
Ahmad Zahid juga berkata antara lain, bengkel itu memutuskan bahawa setiap program keusahawanan rentas agensi akan diselaras bagi mengelakkan pertindihan.
Beliau berkata, KKDW tidak akan bekerja secara silo dalam memastikan program ekonomi di kira-kira 15,000 kampung seluruh negara dengan peruntukan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi setiap kampung dilaksanakan secara berkesan.
Bengkel pemukiman itu katanya merumuskan sebanyak 62 cadangan program yang bersandarkan enam fokus utama iaitu Ekonomi dan Keusahawanan; Pengukuhan Tadbir Urus serta Kemampanan Agensi dan Anak Syarikat; Pendidikan, Infrastruktur dan Teknologi; Kepimpinan Desa serta Tatakelola dan Sistem Penyampaian.
Ahmad Zahid berkata sudut pandang dan hasil perbincangan sesi pemukiman itu akan membantu KKDW dalam pelaksanaan strategi yang menjadi pemangkin pembangunan desa sejajar Aspirasi Desa Madani.
Beliau berkata semua cadangan akan dibawa kepada jemaah menteri minggu depan bagi pelaksanaan.