13 JAN : Polis sedang mengesan penulis sebenar artikel yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong untuk menggulingkan kerajaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata artikel itu disiarkan dalam sebuah portal berita.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Selain penulis artikel itu, polis juga akan memanggil mana-mana individu yang ada kaitan dengan siasatan dakwaan berkenaan,” katanya, lapor Astro Awani.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Azman Abidin meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan mengatakan seorang pemimpin PN terbabit dalam cubaan merasuah individu berpengaruh dan ahli Parlimen untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Dakwaan yang disiarkan sebuah portal itu mendakwa pemimpin PN yang juga seorang ahli Parlimen menyediakan dana RM1 bilion untuk merasuah Yang di-Pertuan Agong bagi menjatuhkan kerajaan.