15 JAN : Mahkamah tidak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap individu yang menghadapi pertuduhan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata perkara itu merupakan kuasa pendakwa raya.
“Apabila pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan, mahkamah hanya mempunyai dua pilihan.
“Ia sama ada membenarkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan (DAA) atau dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan di Putrajaya, hari ini
Menurutnya, Peguam Negara yang juga pendakwa raya mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi kesalahan selain di Mahkamah Syariah.
Ia termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila pendakwa raya memutuskan untuk menarik balik pertuduhan, pihak mahkamah hanya mempunyai satu daripada dua pilihan berbangkit yang sangat terhad,” katanya.
Menurutnya, mahkamah tidak boleh berpaling daripada dua pilihan tersebut dan meminta pendakwa raya untuk mengekalkan pertuduhan.
“Apabila pertuduhan ditarik balik, hakim yang membuat satu-satunya perintah berbangkit akan disifatkan sebagai rasuah, kadang kala sebagai tidak cekap atau kedua-duanya,” katanya.
Menurutnya, orang awam gagal memahami perkara tersebut hingga bertindak menghukum mahkamah.
“Selalunya mahkamah yang dihukum sehingga menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman,” katanya.
*Foto : Facebook Bernama