15 JAN : Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya diganggu dengan sebarang percubaan menjatuhkan dengan apa juga ‘langkah’
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata cubaan mengguling kerajaan hanya akan menyebabkan rakyat merasa tidak selamat.
Selain itu, ia juga menjejaskan pelabur sedia ada serta yang berpotensi ke negara ini.
“Sejak kebelakangan ini, banyak diperkatakan mengenai komplot untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan apa yang dipanggil Langkah Dubai atau ‘membeli’ ahli Parlimen.
“Walaupun tindakan itu dijadikan alasan sebagai satu bentuk demokrasi namun perlu diingat kepentingan negara dan rakyat adalah segala-galanya,” katanya, lapor BH.
Bulan lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Datuk Ismail Yusop mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk beberapa wakil parti kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO berkata semua pihak perlu sedar banyak negara lain menawarkan ekosistem perniagaan dan ekonomi berdaya saing serta mempunyai kestabilan politik diperlukan dalam menarik pelabur.
Beliau berkata kerajaan juga harus lebih komited melaksanakan program dan dasar yang sudah diumumkan selain mengetatkan proses pemantauan serta pelaporan.
“Ia untuk mengelak penyalahgunaan kuasa dan kebocoran dana awam akibat penyelewengan serta ketidakcekapan.
“Usaha juga perlu dilakukan bagi membuat pembaharuan dan perubahan, selain memikirkan semula beberapa langkah dasar yang kurang berdaya maju serta relevan.
“Paling penting pastikan tiada percanggahan antara aspirasi rakyat dan apa yang kerajaan mahu lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa kerajaan menghentikan sebarang ucapan dan arahan tidak masuk akal yang dibuat atas nama agama pada semua peringkat pentadbiran kerana tindakan itu menimbulkan perpecahan rakyat.