15 JAN : Ahli UMNO di Sabah digesa bekerja untuk menang dengan mengelakkan pergeseran menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Ketua UMNOnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kesemua ahli perlu mengamalkan budaya kerja berpasukan demi kemenangan dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Kita mesti terapkan budaya kerja berpasukan…kepimpinan UMNO bahagian empat peringkat perlu bersatu, berjalan seiring dan elakkanlah pergeseran.
“Jangan wujudkan ‘team A’ dan ‘team B’ kerana jika ini masih berlaku kekuatan tidak akan dicapai. Jika kita mahu menang buatlah kerja mahu menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Ketua UMNO Sabah 2024 Bersama Pimpinan Bahagian UMNO Seluruh Bahagian Sabah di Kota Kinabalu, pada Ahad.
Menurutnya, UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada ahlinya untuk menang dalam pilihan raya akan datang di Sabah.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata barisan kepimpinan perlu mencari kaedah untuk menangani isu penolakan pengundi terhadap UMNO.
Katanya, pemimpin UMNO perlu meneliti semula apa yang perlu dilakukan untuk membendung penolakan itu sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.
“Dimensi baharu mendekati rakyat di peringkat akar umbi juga perlu dilakukan oleh UMNO bahagian yang tidak seharusnya tertumpu kepada ahli UMNO semata-mata tetapi harus diperluaskan kepada masyarakat lain.
“Selain penyokong tegar UMNO diluar sana, masih ada kelompok yang tidak berparti, mereka yang uzur dan tidak berkemampuan yang memerlukan perhatian.
“Walaupun berlainan parti, persatuan belia, persatuan ibu tunggal, persatuan pesara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) lain juga perlu didekati.
“Kita perlu ubah pendekatan dengan dimensi baharu, komuniti ini sudah tentu mempunyai ahli dan penyokongnya. Jika kita dekati dengan berhemah dan penuh mesra, bantu keperluan mereka, tidak mustahil mereka akan menyokong perjuangan UMNO,” katanya.