16 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mendakwa masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana masih terikat dengan negara asal sebagai lapuk.
Katanya, pemikiran seperti bekas perdana menteri itu hanya akan merosakkan negara.
“Ada mantan pemimpin yang sibuk nak melindungi kesalahan mereka, dengan mencerca rakyat, orang Melayu malah orang Cina dan India tidak taat kepada negara.
“Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara kita. Saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran-pemikiran rosak ini kerana kita tumpu untuk angkat martabat negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Terdahulu, Mahathir ketika ditemubual saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India bersetuju orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan menjadi Melayu.
Pandangan itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, Presiden Gerakan Dominic Lau, parti MUDA serta wakil-wakil rakyat semasa dan terdahulu.
Sementara itu pada sidang media di UPM tadi, Anwar menyifatkan kenyataan Mahathir itu sebagai tidak relevan dan tidak bertanggungjawab.
“Saya tidak anggap kenyataan Mahathir itu relevan, (malah) tidak bertanggungjawab (datang) daripada mantan perdana menteri sekian lama, menghina mana-mana kaum sama ada majoriti atau minoriti.
“Beliau memang terkenal (mengatakan) Melayu malas, melainkan dirinya sendiri …India dan Cina dianggap kurang setia, kecuali beberapa kroni dia,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau menganggap semua rakyat setia yang perlu dihormati semua pihak.
“Kita harus mendakap keseluruhan kekuatan rakyat dan tuju soal pokok.
“Inii percubaan untuk alih pandangan (daripada) banteras rasuah,” katanya.