18 JAN : Peruntukan untuk semua projek yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 sudah selesai disalurkan kepada pelbagai kementerian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu membolehkan semua projek dilaksanakan segera berbanding amalan sebelum ini yang menunggu selepas suku pertama.
“Isu yang kita bangkitkan dan diutarakan oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali), adalah memastikan projek yang diumumkan ketika Belanjawan 2024
“Tidak seharusnya tunggu seperti proses sebelum ini iaitu selepas suku pertama (tahun), ia harus dimulakan sekarang.
“Mengambil kira pencapaian rekod pelaksanaan projek pada 2023, untuk tahun ini kami mahu ia segera dilaksanakan dan ini bermakna, mereka boleh melaksanakan projek itu sekarang, tanpa perlu menunggu selepas suku pertama tahun terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi pemukiman bersama barisan jemaah menteri di Cyberjaya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kestabilan politik dan dasar yang jelas menjadi tumpuan utama tahun ini.
Katanya, kerajaan juga sudah melaksanakan beberapa inisiatif dan program yang perlu dikoordinasi oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) disusuli tindakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Ini menjadi aduan utama yang diutarakan oleh pelabur berpotensi dari China dan Amerika Syarikat (AS) dalam banyak pertemuan saya bersama mereka sebelum ini.
“Perkara ini boleh diselesaikan berdasarkan komitmen dan saya melihat keputusan yang positif daripadanya. Ia harus menjadi keutamaan,” katanya.
Selain itu katanya, beberapa perubahan besar perlu dilakukan termasuk dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).
“Kita sudah meminta Petronas dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk lebih agresif dalam meningkatkan potensi (tenaga kerja berkemahiran) dan memenuhi keperluan dalam sektor tenaga buruh serta infrastruktur,” katanya.