18 JAN : Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff ditarik balik berkuat kuasa 2 Disember lalu.
Perkara itu diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menerusi warta bertarikh 28 Disember lalu yang mula tular sejak pagi tadi.
Warta itu menyatakan, Mohammad Agus dikurniakan darjah kebesaran pada 12 November 2011.
“Bagi menjunjung titah perintah Sultan Muhammad V, adalah dimaklumkan bahawa baginda perkenan menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DSPK) yang dianugerahkan kepada Mohammad Agus sebelum ini.
“Penarikan balik ini berkuat kuasa mulai 2 Disember lalu,” kata warta tersebut.
Setakat ini tiada pengesahan rasmi dibuat oleh kerajaan negeri.