18 JAN : Kerajaan sedang meneliti keperluan mewujudkan ‘lemon law’ susulan peningkatan kes kenderaan rosak dilaporkan mutakhir ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata Malaysia aktif menangani isu perlindungan pengguna berkaitan kenderaan rosak dan menganalisis amalan antarabangsa sebelum menyesuaikannya untuk kegunaan tempatan, lapor FMT.
Ia susulan desakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya undang-undang itu diperkenalkan iaitu remedi undang-undang untuk pengguna membeli kenderaan rosak, sama ada baharu atau lama yang gagal memenuhi kriteria kualiti serta prestasi dalam tempoh khusus.
Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan, China dan Filipina antara negara yang mengguna pakai undang-undang tersebut
Bagaimanapun, Armizan berkata Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diguna pakai Malaysia turut melindungi pengguna daripada kenderaan rosak.
“Akta itu melindungi pengguna berkait kenderaan rosak dalam beberapa cara, walaupun ia bukan secara jelas ‘lemon law’ dan tidak menawarkan remedi khusus seperti pembelian semula kereta untuk kerosakan tidak boleh dibaiki.
“Ia menyediakan pelbagai peruntukan yang boleh digunakan untuk menangani masalah kenderaan rosak,” katanya
Baru-baru ini, dua laporan kenderaan baru dibeli rosak tular di media sosial.
Kerani, S Nagakanni dilaporkan berkata Perodua Bezza barunya rosak hanya lapan jam selepas dibeli dan beliau terpaksa melunaskan pinjaman bulanan RM537 walaupun kereta tersebut tersadai di pusat servis.
Noriya Mamat dari Terengganu pula mendedahkan Honda HR-V yang baru dibelinya tersadai di pusat servis berbulan-bulan lamanya selepas menghantarnya sebulan selepas pembelian untuk diservis sebaik mencapai 1,000km.
Katanya, beliau terpaksa membuat bayaran bulanan RM1,500 untuk kereta itu yang langsung tidak dapat dipandunya.