18 JAN : Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu segera dikosongkan selepas menerima ancaman bom awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.20 pagi yang memaklumkan penemuan bungkusan mencurigakan di hadapan pintu pagar kompleks mahkamah berkenaan.
Menurutnya sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi itu terdapat bungkusan yang diletakkan di hadapan pintu pagar. Kita telah memeriksa bungkusan tersebut dan telah dimusnahkan.
“Pihak polis juga telah melakukan pemeriksaan dan pembersihan di kompleks mahkamah tersebut. Tiada sebarang ancaman lain ditemukan di kawasan itu,” katanya, lapor Sinar Harian.
Wan Mohd Zaki bagaimanapun tidak memperincikan kandungan bungkusan terbabit.
Pada pagi Khamis, petugas mahkamah digemparkan dengan penemuan bungkusan mencurigakan di hadapan pintu masuk mahkamah berkenaan sebelum sebahagian Kompleks Mahkamah itu diarahkan untuk dikosongkan.
*Foto : Facebook Bernama