18 JAN : Keputusan pelarasan tarif air bagi pengguna domestik yang berkuat kuasa 1 Februari ini dibuat susulan mendapat permintaan daripada semua negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia susulan terdapat negeri yang tidak pernah melakukan pelarasan tarif air melebihi 40 tahun.
“Sudah dijelaskan oleh semua pihak bahawa semua negeri meminta kita naikkan, dalam mesyuarat dengan menteri besar dan ketua menteri.
“Ada negeri yang tak naikkan selama 40 tahun lebih jadi mereka mengusulkan dan Kerajaan Persekutuan setuju,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pemukiman Kerajaan Perpaduan 2024 di Cyberjaya, hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa 1 Februari ini.
Melalui TSM, pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil air dalam julat RM1.60 sen hingga RM8 sebulan atau 5 sen hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.
Pengguna kategori bukan domestik pula akan mengalami kenaikan bil dalam julat RM0.40 hingga RM2 sebulan atau 1 sen hingga 7 sen sehari bagi penggunaan bulanan sebanyak 20 meter padu hasil daripada caj elektrik yang berbeza-beza dikenakan mengikut negeri.
Perbezaan itu adalah dalam julat 2 sen hingga 10 sen bagi setiap meter padu.
Pelarasan tarif air domestik mulai 1 Februari di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.