18 JAN : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan undang-undang antarabangsa tidak dipatuhi di Gaza sepanjang konflik berlangsung.
Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres membuat gesaan agar semua pihak melaksanakan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan segera dihantar masuk ke Palestin.
Bercakap pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos kata Guterres, pihak yang terlibat bukan sahaja mengabaikan undang-undang antarabangsa, konvensyen Geneva malah turut melanggar piagam PBB.
Katanya, orang awam yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dibunuh, dicacatkan, dibom, diusir keluar dari rumah mereka dan dinafikan akses kepada bantuan kemanusiaan.
Beliau terus mengulangi gesaan agar gencatan senjata kemanusiaan segera diaksanakan di Gaza dan satu proses yang membawa kepada keamanan berterusan untuk Palestin dan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak gesaan untuk gencatan senjata itu.
Pengeboman dan serangan darat Israel di Palestin menyebabkan 2.3 juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal.
Sefangan itu menyebabkan krisis kemanusiaan yang serius kerana penghantaran makanan, bahan api dan bekalan perubatan dihadkan.