19 JAN : Arab Saudi bertegas tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Israel selagi gencatan senjata tidak diisytiharkan di Gaza.
Ini termasuk meneruskan perbincangan perjanjian penting untuk mengiktiraf Israel atau menjalin hubungan diplomatik.
Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS), Puteri Reema binti Bandar al-Saud berkata kerajaan Arab Saudi mengutamakan keamanan.
“Saya fikir perkara paling penting adalah kesedaran bahawa Arab Saudi tidak akan menjadikan usul hubungan dengan Israel sebagai dasar penting, sebaliknya keamanan dan kemakmuran diberi keutamaan.
“Kerajaan Arab Saudi cukup jelas…apabila terdapat keganasan di lapangan dan pembunuhan berterusan, kita tidak boleh berunding mengenai masa depan,” katanya pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, lapor AFP.
Arab Saudi tidak pernah mengiktiraf Israel dan tidak menyertai Perjanjian Abraham 2020 diuruskan AS yang menyaksikan jirannya di Teluk Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Maghribi menjalin hubungan rasmi dengan Israel.
Sebelum ini, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mendesak Arab Saudi, penjaga dua kota suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah untuk mengambil langkah yang sama.
Di bawah pemerintah de facto, Putera Mahkota Mohammed Salman, Riyadh menetapkan syarat untuk menjalin hubungan termasuk jaminan keselamatan daripada Washington dan membantu membangunkan program nuklear awam.
Momentum itu terhenti sejurus selepas Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu.
Pada masa sama, Puteri Reema menegaskan negara itu mahu kekal tenang dalam mencari penyelesaian walaupun keadaan di Asia Barat kini tegang.
“Terdapat trauma dan kesakitan di kedua-dua belah pihak. Apa yang berlaku sudah berlalu, tetapi kita boleh isytiharkan gencatan senjata sekarang,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan serangan yang boleh menjerumuskan rantau itu ‘kembali ke zaman batu’.