Kerajaan nilai ruang perbaiki perkhidmatan
19 JAN : Kerajaan membuat penilaian untuk memperbaiki setiap ruang yang ada termasuk membabitkan soal pendidikan, digital dan teknologi dalam perkhidmatan bagi mengangkat martabat serta keupayaan negara supaya menjadi lebih hebat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penilaian itu dilakukan semasa program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di Cyberjaya berdasarkan input sektor swasta, penyelidik, ilmuwan dan pakar antarabangsa selain pandangan serta cadangan jemaah menteri pada sesi tersebut.
“Ramai penyelidik atau pakar yang beri sumbangan yang sangat bermutu dan melalui pemukiman ini, saya dan rakan-rakan Timbalan Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) memberi senario secara terbuka, sangat mendengar pandangan, teguran, kritikan dan cadangan baharu.
“Bukan untuk pertahankan program atau polisi sedia ada tetapi sedia untuk membuat penilaian bahawa ada ruang untuk diperbaiki ke arah pelaksanaan program dan dasar yang lebih berkesan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media semalam sempena pemukiman Perdana Menteri bersama 31 barisan anggota Jemaah Menteri yang berlangsung selama dua hari di Cyberview Resort Spa, Cyberjaya.
Anwar berkata turut diberi penekanan semasa program pemukiman ialah peralihan tenaga, transformasi digital, pelan perindustrian serta reformasi perkhidmatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan negara.
“Perbincangan itu menyeluruh tentunya menekan perpaduan rakyat dan negara serta kestabilan politik yang menjadi prasyarat bagi kita melaksanakan program-program.
“Kemudian kita bicara soal ekonomi untuk menambah pelaburan domestik dan luar negara, dan juga memfokus kepada beberapa isu khusus meningkatkan isu pendidikan negara termasuk TVET dan pendidikan teknologi, soal digital, AI (Kecerdasan Pintar) dan juga beberapa isu yang telah kita cerakinkan dalam beberapa dasar sebelumnya,” katanya.
Perdana menteri berkata hasil perbincangan daripada program itu akan dimanfaat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan memacu ekonomi Malaysia dalam usaha memaknai falsafah negara MADANI.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua Alahli Kabinet yang menjayakan program itu yang disifatkan sebagai berprestasi tinggi serta membanggakan.
Mengenai dakwaan program itu diadakan bagi ‘mengurung’ Ahli Parlimen, Anwar berkata perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu.
“Ini pemukiman, setengah (daripada mereka adalah) menteri dan ada senator, untuk menjimatkan kos, semua menteri diarah pulang, tidur di rumah masing-masing dan datang ke sini pagi-pagi. Jadi tidak ada isu,” katanya.
Pada Rabu, sebuah portal melaporkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Mohamad Shafiq Abdul Halim membuat rakaman video berdurasi kira-kira sembilan saat yang mendakwa semua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan ‘dikurung’ di suatu lokasi di Cyberjaya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim