19 JAN : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang agar mengetepikan perbezaan politik dalam urusan bencana.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara mendakwa ada negeri yang merasakan urusan banjir dan bencana tanggungjawab kerajaan pusat semata-mata.
“Apa kita lakukan kerjasama ini harus terjalin daripada kerajaan pusat dan juga peringkat daerah serta negeri.
“Ini bukan hanya soal tebatan banjir tetapi soal pengurusan bencana. Untuk itu ketepikan warna politik berbeza, terutama negeri yang tidak sama dengan kerajaan pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 bersama warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Ahmad Zahid berkata kerajaan negeri juga harus mengambil tanggungjawab bersama kerajaan pusat dalam pengurusan banjir dan bencana.
Katanya, pihak NADMA atau kerajaan pusat, kedua-duanya ‘buta warna’ dalam soal bencana.
“Namun adalah lebih baik negeri itu beri respons dan kebertanggungjawaban segera kepada apa juga operasi kita lakukan,” katanya.