19 JAN : Laporan Interim 1 Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diserahkan kepad Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyerahkan laporan itu, hari ini.
Anwar terdahulu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 1/2024 yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.
“Fokus utama mesyuarat sudah tentulah penumpuan terhadap inisiatif yang boleh menyumbang ke arah meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.
“Di akhir mesyuarat, Ketua Setiausaha Negara bersama KPPA menyerahkan Laporan Interim 1 Kajian SSPA kepada Perdana Menteri,” kata Jabatan Perkhidmatan Awam melalui perkongsian di Facebook, hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat sepenuhnya bermula 2025.
Bagi tujuan itu, kajian berhubung sistem saraan itu dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.
Ia menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal kepada penjawat awam, kesejahteraan penjawat awam dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.