19 JAN : Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Negara, hari ini.
Memetik laporan The Malaysian Insight, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dikatakan sedang bersiap sedia untuk menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Beliau dilaporkan bakal menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kelapan.
Abdul Taib sebelum ini menjawat jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh sejak 1 Mac 2014.
Pada Jun lalu, bekas ahli Parlimen Santubong itu keluar daripada persaraan demi berkhidmat untuk negara apabila menerima tawaran untuk mengisi kekosongan jawatan Speaker Dewan Negara.
Wan Junaidi menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang tamat perkhidmatan pada 16 Jun lalu.