20 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi isyarat Kerajaan Perpaduan akan meneruskan siasatan kecurian yang dilakukan di negara ini.
Tegasnya, meski sukar dan berdepan kritikan hebat, usaha itu tetap diteruskan dan perlu disokong semua pihak.
Lebih-lebih lagi katanya siasatan melibatkan golongan kaya dan kenamaan termasuk mereka yang bergelar Tun.
“Kita tingkatkan usaha kita, ia tidak mudah kerana hutang (negara) banyak (tetapi) ada yang curi…curi duit rakyat.
“Kita mahu ambil tindakan dan ada yang marah-marah. (Mereka) curi sana, curi sini dan tidak diambil tindakan.
“Bagi saya ia (kritik kerajaan) aneh, sepatutnya anda sokong kerana bukan senang mahu siasat Tun.
“Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah Tamil lagi senang. Saya mahu siasat orang kaya besar-besar yang curi duit ingat senang? Tak senang…,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2021 di Padang Chetey di Klang, hari ini.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan beliau bertekad agar tiada lagi pihak yang berterusan mencuri hak dan harta rakyat Malaysia.
“Kita mahu menjaga negara ini, jangan bagi orang curi harta rakyat.
“Kita mahu menolong rakyat dan ‘we will go after the crooks, i dont care‘,” katanya.