22 JAN : Sistem pendidikan pra sekolah negara perlu dilihat semula dengan memberi perhatian kepada kemudahan tambahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan perkara itu ketika merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan ‘The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia’ di Universiti Malaya (UM), hari ini.
Katanya, Malaysia ketinggalan dalam menyediakan kemudahan termasuk berkaitan digital di peringkat pra sekolah.
“Soal infra digital, soal kurikulum masa depan pra sekolah, dalam semua kategori ini kita agak ketinggalan.
“Sebab itu saya gesa, Menteri Pendidikan baharu (Fadhlina Sidek) lihat semula sistem pra sekolah,” katanya.
Malah katanya, wujud kesenjangan antara sistem pra sekolah di kota dan desa serta pendalaman.
Justeru, katanya menerusi peruntukan terbesar dalam bidang pendidikan pada Belanjawan MADANI 2024, ia perlu bermula dengan yang asas.
“Kalau kita katakan 80 peratus sahaja yang masuk pra sekolah dengan kategori berbeza…mungkin 40 peratus baik selainnya itu agak pertengahan dan sekitar 20 peratus amat lemah. Maknanya tidak sampai 50 peratus.
“Maknanya kita dalam bicarakan soal keadilan, kita sebenarnya melebarkan kesenjangan antara kota dan desa, kaya kota dan miskin kota, serta desa dan pendalaman,” katanya.