22 JAN : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di tujuh lokaliti di Kelantan dan seluruh Terengganu hingga Rabu ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan MetMalaysia hari ini, lokaliti di Kelantan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Dalam pada itu, laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan jumlah mangsa banjir di Segamat, Johor kekal dengan 19 orang seperti dilaporkan pada tengah hari tadi.
Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula merekodkan beberapa sungai berada pada paras bahaya antaranya Sungai Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Rompin.
Situasi sama direkodkan pada Sungai Arau, Sungai Kinabatangan, Sungai Salim Batang Rajang dan Sungai Terengganu.