22 JAN : Tentera zionis memusnahkan 1,000 masjid di Semenanjung Gaza sejak perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
Agensi berita Anadolu melaporkan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza berkata pembinaan semula masjid-masjid itu bakal menelan kos sehingga RM2.35 bilion.
“Pembinaan semula masjid-masjid ini memerlukan perbelanjaan sekitar AS$500 juta (RM2.35 bilion),” kata kementerian itu.
Dianggarkan terdapat sekitar 1,200 masjid di wilayah berkenaan.
Menurut kementerian itu lagi, sekurang-kurangnya 100 pendakwah Islam terbunuh dalam serangan tanpa henti rejim Tel Aviv di Semenanjung Gaza.
“Tentera rejim zionis turut memusnahkan berpuluh-puluh tanah perkuburan Islam. Mereka menggali dan mencuri jenazah dalam perbuatan yang jelas mencabuli piagam antarabangsa dan hak asasi manusia,” kata kementerian itu lagi.
Turut musnah sebuah gereja, bangunan pentadbiran, sekolah al-Quran dan ibu pejabat sebuah bank.
“Kami merayu kepada negara-negara Arab dan Islam serta komuniti Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza,” kata kementerian itu.
Sejak 7 Oktober, sekurang-kurangnya 25,105 rakyat Palestin terkorban yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 62,681 yang lain cedera.