23 JAN : Satu badan penyelaras bagi pengiktirafan dan penarafan kelulusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diwujudkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penarafan tersebut dilaksana dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
“Ia adalah untuk menyesuaikan semua kursus TVET berdasarkan permintaan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis TVET negara di Putrajaya, hari ini.
Jelasnya, melalui penyelarasan itu ketidakjajaran kursus dengan keperluan industri dapat dielakkan.
“Berbeza dengan dahulu di mana silibus dalam TVET ini dilakukan berdasarkan apa yang boleh ditawarkan, jadi perubahan yang dilakukan ini berdasarkan kepada permintaan daripada pemain industri,” katanya.
Katanya, tumpuan kini pada bidang berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi futuristik.
“Saya ingin China menawarkan lebih 2,000 tempat kepada pelajar TVET Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di negara itu dalam beberapa bidang teknologi tinggi.
“Tawaran tersebut atas kepercayaan terhadap kualiti lepasan TVET di negara kita adalah setaraf dengan kelulusan minimum yg diperlukan oleh institusi TVET di China,” katanya.
Katanya lagi, Majlis TVET Negara turut memutuskan agar beberapa kursus TVET di dalam pertanian dan perladang diperkasakan.
Beliau turut berharap lepasan TVET dapat diberi pengiktirafan sebagai ahli teknologi oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) agar memberi nilai tambah kepada mereka bagi meningkatkan tahap gaji selaras dengan tawaran pihak industri dalam bidang teknologi tinggi.