23 JAN : Kerajaan Perpaduan menolak tuduhan bahawa tindakan siasatan dan pendakwaan dikenakan terhadap mana-mana individu ketika ini sebagai satu bentuk dendam politik.
Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dakwaan itu hanyalah persepsi yang cuba dilontar pemimpin serta tokoh politik tertentu bagi mengalihkan tumpuan terhadap isu yang sedang dihadapi mereka.
“Saya rasa itu persepsi beliau. Saya tidak lihat ini sebagai satu isu politik dendam atau bersifat dendam. Itu mungkin timbul dari perasaan beliau sendiri. Saya ingat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah menyatakan beberapa kali ini bukan peribadi.
“Sekiranya ada sebarang perkara melibatkan harta rakyat, wang ringgit rakyat, maka dari segi itu ada hak untuk kerajaan teliti dan ia terpakai kepada semua pihak, bukan satu individu atau kelompok tertentu saja” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pakej P-Hailing RAHMAH di Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi mengulas kenyataan dilemparkan pemimpin pembangkang dan tokoh politik yang mendakwa pentadbiran Anwar berdendam dengan seteru politiknya susulan beberapa siasatan dan tindakan undang-undang yang dikenakan.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu juga bertegas, kerajaan tidak pernah mencampuri sebarang urusan penyiasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, SPRM diberi tanggungjawab untuk menjalankan siasatan secara bebas, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Saya tak percaya perkara (campur tangan) itu berlaku. SPRM bebas menjalankan siasatan yang dirasakan wajar dan kita tak masuk campur.
“Perdana menteri sudah menyatakan beberapa kali, beliau tidak pernah menyatakan apa-apa arahan kepada SPRM untuk melakukan apa-apa tindakan.
“Jadi terserah kepada SPRM untuk mengambil sebarang tindakan berlandaskan undang-undang terhadap tindakan yang diambilnya,” katanya.
Fahmi sempat menasihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar bermuhasabah diri susulan tindakannya mengadakan sidang akhbar semalam.
“Tun Mahathir hilang deposit di Langkawi, Anwar menang di Tambun. Jadi, saya sarankan sebagai negarawan harus muhasabah dalam hari senja ini.
“Kita harus meninggalkan satu legasi yang murni daripada cuba menakutkan dan mengeluarkan cerita seperti ini. Saya harap beliau lebih bermuhasabah,” katanya.
Ia susulan desakan Mahathir agar Anwar mengadakan PRU selain kritikan terhadap siasatan SPRM yang dikenakan ke atas anaknya, Mirzan Mahathir.