23 JAN : Pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak akan dilaksanakan sehingga kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.
Ia akan berkuat kuasa mulai 1 Februari depan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengumumkan perkara itu melalui satu pekeliling yang dilihat media, hari ini.
“Kerajaan melalui mesyuarat jemaah menteri pada 12 Julai 2023 memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan.
“Jemaah menteri juga bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah tersebut, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa mulai tahun 2024,” katanya.
Kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan yang dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara untuk tempoh jangka masa panjang.
Wan Ahmad berkata kaedah pelaksanaan lantikan kontrak ini adalah mengikut peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).
Katanya, lantikan kontrak (COS) yang dimaksudkan adalah lantikan kontrak Objek Sebagai (OS) 11000.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) agar mematuhi dan melaksanakan ketetapan itu berdasarkan peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa.