23 JAN : Semua pihak yang layak tidak terlepas daripada membayar cukai termasuk seorang perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau sendiri turut dikenakan cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas hadiah minyak zaitun yang diterimanya dari seorang kenalan dari Arab.
Menteri Kewangan itu berkata beliau membayar cukai RM500 meskipun minyak itu untuk kegunaannya sendiri.
“Bila saya jadi perdana menteri, dalam beberapa bulan selepas itu, JKDM kenakan cukai…RM500. Minyak itu saya bukan buat berniaga, saya guna sendiri.
“Tapi saya tidak merayu untuk tidak membayar, saya bayar juga RM500 itu. Kalau perdana menteri pun kena bayar cukai, rakyat lain pun begitu (jangan culas).
“Itu bezanya…ada yang rasa bila jadi perdana menteri sudah hebat, beli barang mahal-mahal tapi tidak mahu bayar cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia kali-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim