23 JAN : Hanya sektor perladangan dibenar membawa masuk pekerja asing yang kini memerlukan sekitar 40,000 tenaga.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata keputusan itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seru Saifuddin Nasution Ismail selepas berbincang dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim, minggu lalu.
“Kementerian itu sudah bersetuju pekerja-pekerja asing selain daripada perladangan tidak dibenarkan lagi masuk.
“Tetapi untuk industri perladangan ini terbuka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), hari ini
Sebelum ini, Saifuddin Nasution dan Steven Sim mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.
Saifuddin berkata tempoh permohonan membawa masuk pekerja asing dipendekkan daripada 29 bulan dan 13 hari kepada 15 bulan dan 23 hari selepas kuota pengambilan kembali dibuka.
Dalam pada itu, Johari berkata pengambilan pekerja asing ke negara ini kini akan diperketat supaya Malaysia tidak dituduh melakukan buruh paksa dan pemerdagangan manusia.
“Sesiapa nak bawa pekerja-pekerja asing ini kena pastikan tempat tinggal yang elok, sempurna.
“Mana-mana orang bawa masuk pekerja ini dalam negara kita kemudian sampai sini tak ada kerja, maka tetap kena bayar gaji kepada orang tersebut,” katanya.
Pada program tersebut, Johari mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk membantu pekebun kecil di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula.