Hasrat Palestin diterima jadi anggota penuh PBB sudah disampaikan
24 JAN : Malaysia sudah menyampaikan hasrat agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan gesaan senjata sudah disampaikan kepada Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disampaikan sendiri oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan di New York, semalam.
Menurutnya, gesaan Malaysia itu seiring dengan kenyataan Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara tidak boleh dinafikan.
“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak. Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan.
“Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tegas Anwar, Malaysia kekal pada pendirian berprinsip bahawa Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu Kota.
Sebelum ini, Anwar bersama jemaah menteri memulakan Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB sebagai menyuarakan aspirasi rakyat Malaysia menuntut keadilan dan keamanan Palestin.
Poskad khas itu adalah bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia dengan mendesak PBB menerima Palestin sebagai negara anggota dan menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis segera dihentikan.
Sebelum ini, beliau menyeru kepada mana-mana rakyat Malaysia yang ingin bersama-sama menyertai kempen itu boleh membeli poskad tersebut di pejabat pos.
“Rakyat Malaysia boleh ikut serta dalam Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB dengan membeli poskad ini bermula esok di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad,” katanya.
Pada poskad itu tertera ayat ‘We appeal for the UN to accept The State of Palestine as a full member. Ceasefire now!’
Poskad itu boleh didapati di semua pejabat pos pada harga RM2 sekeping (termasuk setem pracetak 90 sen) dan orang ramai juga boleh membuat pembelian secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd https://shop.pos.com.my/.