25 JAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum mengesan sebarang pembabitan rakyat Malaysia menjadi askar upahan Rusia seperti yang didakwa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata semakan lanjut dibuat Bahagian Cawangan Khas, Bukit Aman dengan rakan sejawat di Eropah.
Namun katanya, tiada maklumat diterima seperti yang dilaporkan media, setakat ini.
“Tiada maklumat rakyat kita diupah jadi tentera di mana-mana negara termasuk di Ukraine seperti yang dilaporkan itu,” katanya lapor BH, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tentera Ukraine mendakwa Rusia mengupah askar upahan daripada seluruh dunia untuk berperang bagi pihak mereka di Ukraine termasuk askar upahan daripada Malaysia.
Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine dalam satu kenyataan mendakwa askar upahan dari Malaysia kini sedang berlatih di sebuah lokasi di wilayah Donetsk yang dikuasai Rusia.
Katanya, askar upahan dari Malaysia bersama penterjemah serta anggota bekas kumpulan askar upahan Wagner dikesan berada di wilayah Donetsk yang kini dikuasai Rusia.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata askar upahan ini tidak boleh dianggap sebagai pengganas memandangkan mereka ini berkemungkinan mewakili sesebuah negara dan bukan organisasi berteraskan keganasan.
Dalam pada itu, katanya PDRM sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana rakyat negara ini yang dikesan menjadi askar upahan atau pengganas untuk berperang di mana-mana negara bergolak.
“Tindakan tegas boleh diambil mengikut Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA) terhadap mana-mana rakyat negara ini yang kita kesan terlibat dalam aktiviti keganasan.
“Kita (PDRM) akan sentiasa bertukar maklumat dengan pihak kerajaan dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen). Jika ada rakyat kita dikesan jadi pengganas atau askar upahan, pasport mereka akan dibatalkan,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia sama sekali tidak menyokong aktiviti askar upahan atau membenarkan mana-mana rakyat negara ini pergi ke kawasan pergolakan untuk berperang.