26 JAN : Pelaksanaan skim tidak berpencen penjawat awam baharu yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Februari ini turut terpakai bagi pelantikan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk kesemua ahli politik yang dilantik sebagai menteri, menteri besar dan wakil rakyat.
“Apa saja keputusan yang ditetapkan bagi penjawat awam terpakai juga bagi ahli politik. Maknanya, kalau kita mula pada 1 Februari 2024 dan semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua lantikan baharu ahli politik.
“Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, jadi menteri dan kemudian jadi timbalan perdana menteri, itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tetapi tak boleh dibawa ke belakang secara retrospektif.
“Untuk yang baharu kita boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah kita nak tukar penyesuaian ini.
“Secara prinsipnya, saya bersetuju supaya apa sahaja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian dibawa dan Jemaah Menteri putuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu kota, hari ini.
Sebelum ini, wujud gesaan agar kerajaan memansuhkan pencen kepada lantikan politik sebelum melaksanakannya kepada penjawat awam.
Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan keputusan Kabinet bahawa lantikan baharu bagi penjawat awam berstatus tetap selepas ini tidak berpencen.
Pengumuman itu mencetuskan polemik apabila mendapat bantahan pelbagai pihak.