26 JAN : Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima peruntukan RM5 juta bagi mengurus dan meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu susulan prestasi skuad bimbingan Kim Pan Gon pada kempen Piala Asia di Doha, Qatar, malam tadi.
Katanya, pencapaian skuad Harimau Malaya yang menunjukkan kesungguhan dan semangat tidak berputus asa ketika mengikat pasukan gergasi, Korea Selatan 3-3 sesuatu yang menakjubkan.
“Pasukan Harimau Malaya malam tadi menunjukkan kesungguhan dan semangat tidak lusuh walaupun setelah kalah dua pertarungan (tewas di tangan Jordan dan Bahrain dalam aksi Kumpulan E), ia satu perlawanan yang menakjubkan dan hebat.
“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada mereka kerana menunjukkan semangat demikian. (Berdasarkan) pertimbangan daripada Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), kerajaan setuju meluluskan RM5 juta kepada FAM supaya dapat menguruskan pasukan bola dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada media di ibu kota, hari ini.
Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian selama 42 tahun layak secara merit ke saingan Piala Asia.
Bagaimanapun, perjuangan skuad kebangsaan itu kandas di peringkat kumpulan selepas tewas di kepada Jordan 0-4 dan 0-2 kepada Bahrain sebelum mengikat Korea 3-3 pada aksi terakhir kumpulan, malam tadi untuk mengutip satu mata.