26 JAN : Seorang lelak disahkan maut manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 2.51 pagi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan setakat ini.
“Hasil pemeriksaan di lokasi telah menemui seorang lelaki yang tertimbus.
“Berdasarkan maklumat awal, terdapat tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa masih berada dalam kawasan runtuhan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sembilan anggota bomba yang dikerah ke lokasi kejadian perlu berjalan kaki kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke tempat berkenaan.
Identiti mangsa yang terlibat bagaimanapun masih belum diperoleh setakat ini.